PERMATA
Idea untuk menjalankan Projek
Perintis PERMATA Negara ini datangnya
daripada Y.A.Bhg. Datin Paduka
Seri Rosmah Mansor bersama kumpulan beberapa orang profesional, pendidik, ahli akademik, pakar perubatan, pegawai
polis, peguam, pegawai-pegawai kerajaan bagi membincangkan cadangan
penyelesaian kepada masalah dan gejala sosial yang kian melanda para remaja
yang sungguh membimbangkan.
Projek
Perintis PERMATA Negara mula dilaksanakan pada tahun 2007, hasil dari pemerhatian
yang dibuat pada program asuhan dan didikan awal kanak-kanak di negara-negara
maju seperti Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Daripada
pemerhatian, didapati negara-negara maju telah lebih awal memberikan penekanan
kepada kaedah ‘pembelajaran yang menyeronokkan’ dan didikan mengikut kecenderungan
kanak-kanak terbabit.
Sehubungan
itu, kurikulum PERMATA telah pun digubal dengan diadaptasi dari model
Pen Green Centre sebagai contoh amalan terbaik dan kemudiannya
disesuaikan dengan budaya masyarakat setempat dan Falsafah Pendidikan Negara
bagi memantapkan lagi kandungannya. Tema
‘Setiap Anak PERMATA Negara’ Juga telah dipilih untuk
menggambarkan kesungguhan kerajaan dan agensi-agensi pelaksana untuk menggubal
satu dasar pendidikan awal kanak-kanak yang bersepadu dan menyeluruh. Hasil
dari kesungguhan ini, Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan juga
telah diluluskan oleh kerajaan ke arah menyediakan pendidikan yang sempurna dan
berkualiti dan menyeluruh kepada kanak-kanak.
Hasil
kejayaan pelaksanaan Projek Perintis Program PERMATA Negara, pelaksanaannya
telahpun diperluas dan diperkasakan ke seluruh negara bagi memastikan lebih
ramai anak akan mendapat peluang untuk diberi permulaan terbaik dalam kehidupan
mereka sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Falsafah dan Fokus PERMATA Negara
Asuhan dan didikan awal kanak-kanak bertujuan mengembangkan potensi SETIAP ANAK PERMATA
NEGARA secara holistik bagi mewujudkan modal insan negara yang seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi. Usaha ini
memerlukan kerjasama antara pendidik, ibu-bapa dan komuniti.
- Program
PERMATA Negara memfokuskan pada asuhan dan didikan awal untuk kanak-kanak
yang memenuhi kriteria berikut:
i. Berumur satu hingga empat tahun
ii. Menetap di pinggir atau luar bandar
iii. Keluarga berpendapatan rendah
iv. Berbilang kaum dan agama - Penglibatan ibu bapa dan komuniti adalah penting dalam pembelajaran anak-anak dan mempunyai matlamat secara keseluruhannya untuk meningkatkan kesediaan kanak-kanak memasuki alam pra dan sekolah rendah dengan persediaan pelbagai aspek perkembangan
- Fokus kepada merangsang perkembangan holistik dan intervensi awal kanak-kanak dari lahir hingga ke usia pra persekolahan.