Wednesday 13 March 2013



MINGGU  KEDUA
25.2.2013
 
Pada permualaan sem-6 ini saya dan kawan-kawan telah mempelajari sesuatu yang amat penting untuk kami ketahui daripada DR ZURAIDAH sebagai bakal pendidik.Ianya berkenaan hala tuju sistem  pendidikan negara pada masa kini yang lebih dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.Kita akan melihat matlamat dan pendekatan Pelan Pembangunan pendidikan Malaysia dengan skop yang lebih kecil sebagai pengisian di dalam Blog ini.



MATLAMAT DAN PENDEKATAN
            KEMENTERIAN Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
 
            Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.
Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:

* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;
* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan
* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

            Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.
11 ANJAKAN
ANJAKAN PERTAMA (1)

            Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.
            Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun.Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
            Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.

ANJAKAN YANG KEDUA (2)
            Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.
            Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.
            Bagi memantapkan penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

 ANJAKAN yang ketiga (3)
             Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta agama-agama yang lain.
            Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.Segala langkah yang akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti.

ANJAKAN YANG KEEMPAT (4),
            Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan.Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di sekolah.
            Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru.Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru.

ANJAKAN YANG KELIMA (5)
            Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah.Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah. 
,
ANJAKAN YANG KEENAM (6)
            Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari 2014.
            Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.Dalam dunia yang pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran.

 ANJAKAN YANG KETUJUH (7)
            Memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.

ANJAKAN YANG KELAPAN (8)
             Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawah.

ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9)
            Menyedari hakikat bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan dengan  memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak masing-masing.Selain itu, pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur.

ANJAKAN YANG KESEPULUH (10)
            Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.

ANJAKAN YANG KESEBELAS (11)
            Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor pendidikan.


No comments:

Post a Comment