Friday 22 March 2013

TOKOH-TOKOH DALAM PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK.



SELASA 
12.3.2013

5 TOKOH


ARNOLD GESELL 
 Robert J. Havighurst  

JEAN PIAGET 

SIGMUND FREUD

ERIK ERIKSON 


ARNOLD GESELL




 Arnold Gesell telah mengemukakan satu teori iaitu  teori kematangan biologi yang mengatakan tingkah laku individu berkembang mengikut jadual masa yang tetap. Ini Bermaksud apabila sudah sampai masa perkembangan manusia itu pasti berlaku. Bagi beliau kematangan merupakan faktor yang utama dan menentukan proses pembelajaran. Perkembangan bagi kelakuan, pertumbuhan tisu  dan organ serta fungsi-fungsi lain berkembang mengikut pola dan urutan yang terkawal. Oleh yang demikian , perlakuan kanak-kanak boleh diramalkan. Oleh kerana beliau mempercayai kematangan menjadi faktor utama dalam proses pembelajaran. Ini bererti beliau mementingkan baka sebagai penggerak utama terhadap perkembangan kanak-kanak .

Faktor-faktor persekitaran dan kebudayaan hanya bertindak sebagai pengaruh sekunder yang dapat mengubahsuai kemajuan perkembangan.   Beliau menghormati hak dan individualiti kanak-kanak dan mempercayai kanak-kanak bebas untuk mendapatkan pendidikan. Kanak-kanak harus dibenarkan berkembang mengikut kadar perkembangan sendiri, kanak-kanak tidak perlu dipaksa untuk mencapai suatu peringkat perkembangan . Personaliti, kadar pertumbuhan minat dan kebolehan adalah aspek-aspek yang dimiliki oleh individu. Oleh itu wujud kadar pertumbuhan yang berlainan yang berlaku pada masa yang berlainan. Oleh itu perbezaan individu sering berlaku sangat penting dan harus diketahui di semua peringkat.

Beliau membahagikan perkembangan kanak-kanak kepada lima peringkat seperti di bawah:

                Peringkat Pertama ( 0 – 1 tahun )


Semasa berumur sebulan bayi boleh menghasilkan tangisan berlainan untuk membezakan tangisan lapar dan tangisan yang inginkan belaian ibu. Semasa berusia 4 bulan , bayi melalui peringkat awal perkembangan emosi seperti ketawa apabila gembira  sementara di usia 8 bulan, perkembangan psikomotor bayi telah meningkat  di mana bayi boleh menggenggam objek yang diberikan kepadanya. Bagi bayi berusia 1 tahun pula telah boleh berdiri.

                         Peringkat Kedua ( 1- 2 tahun )

Kanak-kanak mulai berjalan berjalan , bercakap dan memahami makna “jangan”.  Pada akhir peringkat ini boleh berjalan dan berlari serta mula bercakap tetapi masih pelat.

                        Peringkat Ketiga ( 2 – 3 tahun )

Kanak-kanak mula makan bersendirian dan bercakap menggunakan ayat yang mudah.


            Peringkat Keempat ( 3 – 4 tahun )

Kanak-kanak boleh  menunggang basikal roda tiga dan dapat menerima arahan mudah ibu bapa.

            Peringkat kelima ( 4 – 6 tahun )
Kanak-kanak mula bersosialisasi dan berupaya mengemukakan soalan berperingkat-peringkat.Kanak-kanak sudah boleh membezakan di antara yang betul dan yang salah serta sedia mendengar pendapat orang lain.

Robert J. Havighurst 




Robert J. Havighurst  dilahirkan pada 5 Jun 1900 dan telah menerima ijazah Ph.D. dalam bidang Kimia pada tahun 1924 daripada Universiti Ohio. Beliau telah mengubah haluan kerjayanya kepada mengkaji perkembangan remaja dan proses pendidikan setelah menjadi guru.



Beliau telah mengemukakan teori mengenai tugas perkembangan. Tugas perkembangan bermaksud jangkaan ibu bapa dan masyarakat tentang tingkah laku yang sepatutnya dikuasai oleh seseorang individu pada peringkat umur tertentu. Ia adalah satu set kebolehan atau kemahiran yang perlu dikuasai oleh individu untuk menambah penguasaan terhadap persekitaran.
Perkembangan kanak-kanak amat dipengaruhi persekitarannya mengikut teori ini.  Perkembangan personaliti dipengaruhi oleh nilai, norma dan budaya masyarakatnya.  Kebudayaan masyarakat juga berkait rapat dengan keperluan mereka.  Pendekatan memenuhi keperluan psikologi mungkin berbeza daripada satu budaya kepada satu budaya yang lain. 
            Beliau turut memperkenalkan konsep tugas-tugas perkembangan.  Tugas perkembangan merujuk kepada satu-satu tugas yang lahir pada satu masa dalam hidup individu tersebut.  Kejayaan mencapai tugas ini akan membawa kegembiraan manakala kegagalan akan membawa kesedihan dan kesusahan dalam tugas-tugas seterusnya. 
Havighurst membahagikan peringkat perkembangan kanak-kanak dan remaja kepada tiga peringkat.

                    Peringkat pertama
                             lahir - 6 tahun.
Dalam peringkat ini, kanak-kanak sudah mula bertutur namun masih bersifat egosentrik iaitu bercakap mengenai diri sendiri.  Ketika berusia 6 tahun, kanak-kanak sudah mampu bertolak ansur dan menerima pendapat orang lain. Pada tahap ini, kanak-kanak sudah memiliki kemampuan untuk membezakan yang betul dan salah. Bagaimanapun, kanak -kanak pada peringkat ini masih belum dapat menguasai konsep pengekalan dan transformasi.

                       Peringkat kedua
                             6 hingga 12 tahun.
Pada usia ini, kanak-kanak sudah menguasai beberapa kemahiran termasuk kemampuan untuk bersosial dan bergaul dengan orang di sekeliling mereka. Mereka juga mula belajar untuk membentuk sikap mengakui hak, keupayaan dan kelemahan individu.

                       Peringkat yang ketiga
                             12 hingga 18 tahun.
      Pada peringkat ini, perubahan fizikal adalah ketara setelah kanak-kanak akil baligh. Mereka akan mula memiliki kecenderungan untuk meminati jantina yang berbeza. Mereka akan belajar bertingkahlaku seperti orang dewasa ketika berada di kalangan orang dewasa. Pada usia ini, mereka mengingini tingkah laku dan kehidupan yang bertanggungjawab serta diterima masyarakat. Selain itu, kesedaran mereka terhadap perkara yang penting, baik dan betul juga menjadi mantap.
            Mengikut teori Havighurst, beliau mempercayai bahawa manusia mempunyai tugas perkembangan pada setiap peringkat hidup mereka.  Sesuatu tugasan dalam peringkat hidup mereka akan mempengaruhi peringkat seterusnya.



 

Jean Piaget

Dilahirkan pada 9 Ogos 1896, Switzerland.

 Merupakan ahli psikologi dalam bidang pendidikan. 

Memberi tumpuan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. 

Meninggal dunia pada tahun 1980









4  konsep utama Teori Piaget
Skema adalah struktur kognitif atau mental yang membolehkan individu mengurus dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Skema adalah seperti sebuah kabinet yang menyimpan banyak fail dan setiap fail mewakili satu skema. Apabila seorang bayi dilahirkan ia mempunyai skema umum dan semakin bayi itu membesar skema yang diperoleh semakin meningkat dan skema itu semakin diperhalusi. Skema adalah proses mencipta, memperhalus, membuat perubahan, menyusun dan mengurus. Apabila seorang bayi dilahirkan, skema sedia ada pada bayi itu ialah menghisap susu dan menggenggam. Apa sahaja benda yang dimasukkan ke mulutnya akan dihisapnya. Seperti puting susu atau jari tangan. Bayi berkenaan masih belum dapat membezakan yang mana satu akan mengeluarkan susu atau sebaliknya, kerana hanya ada satu sahaja skema iaitu menghisap.


Asimilasi merupakan proses kognitif di mana seseorang menyatukan maklumat-maklumat baru atau pengalaman-pengalaman baru ke dalam skema yang sedia ada, iaitu penyerapan (fitting) maklumat baru ke dalam struktur sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa melalui pelbagai maklumat dan pengalaman. Keadaan ini boleh disamakan dengan sebuah belon yang semakin membesar apabila ditiupkan angin ke dalamnya. Oleh itu, perubahan yang berlaku adalah secara kuantitatif atau bukan kualitatif.


Akomodasi atau penyesuaian diri dan menghasilkan perubahan kualitatif serta perkembangan skema (development of schema). Jika maklumat yang diterima sesuai dengan skema yang ada, maka ia akan diserap ke dalam skema, sebaliknya jika maklumat itu tidak sesuai, maka maklumat itu akan ditolak atau diubah atau diubahsuai. Oleh itu, proses penyesuaian diri berlaku apabila skema yang sedia ada diubah suai untuk digabungkan dengan maklumat-maklumat atau pengalaman-pengalaman baru. Peningkatan maklumat dan pengalaman ini meningkatkan tahap skema sedia ada. Proses ini berlaku secara berterusan sehingga seseorang itu mencapai tahap pemahaman yang stabil dan mantap bagi satu-satu kemahiran tertentu.


Keseimbangan  akan tercapai apabila seseorang kanak-kanak menyeimbangkan proses penyerapan dan pengubahsuaian. Contohnya, apabila seseorang kanak-kanak menerima maklumat baru, ia akan menyerap maklumat itu ke dalam skemanya. Sekiranya ia berjaya proses keseimbangan akan tercapai. Sebaliknya, jika ia tidak dapat diserap, maka maklumat itu akan diubahsuai melalui pengubahsuaian skema atau mencipta skema yang baru. Jikalau maklumat baru itu dapat disesuaikan, maka tahap keseimbangan akan tercapai. Proses ini berlaku secara berterusan bermula dari bayi sehingga dewasa.


         4  Peringkat Perkembangan Kognitif Piaget

            Dari kajian dan pemerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat mengikut perubahan umur mereka. Piaget membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat sensori motor, pra operasi, operasi konkrit dan operasi formal.
  • Sensori motor (0-2 tahun)
  • Pra-operasi (2-7 tahun)
  • Operasi konkrit (7-12 tahun)
  • Operasi formal (12 tahun ke atas)

1. Peringkat deria motor/ sensori motor (0-2 tahun)
·         Penggunaan deria dan pergerakan fizikal sebagai saranan
perkembangan kognitif berkaitan persekitarannya;
·         Pengekalan objek (gambaran objek di dalam memori);
·         Permulaan pemikiran logik dengan aktiviti yang bertujuan serta pengulangan proses ke bentuk asal

2. Peringkat Pra Operasi (2-7 tahun)
Penggunaan minda sebagai medium pembentukan skema baharu (perancangan);
·         Perwakilan sesuatu objek menerusi simbol (fungsi semiotik)
·         Kemahiran berbahasa kian meluas
·         Tidak mampu menguasai proses transformasi, keterbalikan dan penaakulan
·         Sikap egosentrik (pemahaman persekitaran bersumberkan perspektif sendiri).
   Implikasi teori dalam P&P
  • Penggunaan BBM yang konkrit;
  • Arahan ringkas dan difahami;
  • Penggunaan bahasa kanak-kanak yang sesuai;
  • Penyediaan variasi pengalaman pembelajaran.



3. Peringkat Operasi Konkrit (7-12 tahun)
·         Pemikiran secara logik dan masih terikat dengan situasi konkrit
·         Berkebolehan menguasai konsep pemuliharaan (conservation) yang terdiri daripada tiga prinsip asas, iaitu; prinsip identiti, prinsip ganti rugi (compensation) dan prinsip keterbalikan
·         Penguasaan proses pengelasan berdasarkan trait
·         Penguasaan proses penyusunan secara bersiri;
             Implikasi teori dalam P&P
  • Penggunaan bahan konkrit (3-Dimensi);
  • Peluang memanipulasi dan menguji deretan objek;
  • Pembacaan dan pembentangan mudah kepada kompleks;
  • Contoh sesuai dan berkaitan pengalaman pelajar;
  • Penyediaan soalan berkaitan logik dan analitik.

4. Peringkat Operasi Formal (selepas 12 tahun)
·         Pemikiran abstrak
·         Pemikiran sistematik
·         Kebolehan berhipotesis
·         Egosentrik remaja (susah menerima pendapat orang lain dan merasa sentiasa diperhatikan sekeliling).

Implikasi teori dalam P&P
·         Penggunaan bahan konkrit untuk mengilustrasi konsep yang lebih kompleks
·         Peluang bermetafizik (sebab-akibat) kepada penyelesaian sesuatu masalah
·         Pengemukaan konsep yang luas dan tidak terikat kepada fakta-fakta.
·         Boleh mengaitkan simbol-simbol matematik dalam menyelesaikan masalah secara logik. 


Sigmund Freud



Teori-teori perkembangan psikoseksual Freud terbahagi kepada lima.
         Tahap pertama
Oral iaitu bayi yang baru lahir sehingga berumur 1 tahun.
Pada peringkat ini juga ia dapat kepuasan daripada aktiviti sekitar mulut iaitu menghisap, menelan, mengigit dan mengunyah makanan. Jika pada tahap ini kanak-kanak tidak merasa puas, mereka dianggap gagal dan akan mempengaruhi personaliti.
         Tahap yang Kedua
Anal iaitu kanak-kanak yang berumur 1 hingga 3 tahun.
Pada peringkat ini mereka tertumpu kepada proses pembuangan air besar dan air kecil, ia berlaku di sekitar dubur. Personaliti kanak-kanak dipengaruhi oleh cara ibu bapa melatih mereka. Jika berlakunya paksaan, personaliti kanak-kanak akan menjadi kelam-kabut,tidak berdisiplin serta suka membazir dan ini berlakunya kegagalan.
Tahap yang ketiga
Tahap falik iaitu kanak-kanak yang berumur 3 hingga 6 tahun.
Pada peringkat ini kanak-kanak akan mula sedar perbezaan jantina daripada orang lain dan mereka juga tahu membezakan peranan lelaki dan perempuan. Pada tahap ini juga mereka akan suka bermain dengan alat jantina. Jika salah dibimbing, kanak-kanak ini akan mengalami kegagalan seperti takut alat kemaluan dipotong untuk kanak-kanak lelaki manakala kanak-kanak perempuan iri hati pada alat jantina budak lelaki. Kanak-kanak lelaki suka menarik perhatian ibu mereka dengan mengikut cara ayah manakala kanak-kanak perempuan akan mengikut cara ibu mereka untuk menarik perhatian ayah.
         Tahap yang empat
Tahap latensi iaitu untuk kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun.
Pada tahap ini tahap oral, anal dan falik diintegrasikan. Untuk kanak-kanak lelaki mereka akan beralih punca keseronokan dengan bermain bersama rakan sebaya manakala kanak-kanak perempuan bermain masak-masak, anak patung, kahwin-kahwin. Kanak-kanak lelaki akan cuba menjadi maskulin manakala kanak-kanak perempuan akan menjadi feminim.
            Tahap 5
Genital iaitu individu yang berumur 12 tahun ke atas.
 Zaman ini individu akan melalui tekanan keterlaluan dan stress. Pada tahap ini, akan lahirnya isu seksual iaitu tertarik dengan berlainan jantina. Mereka yang berjaya mengatasi masalah ini akan menjalani kehidupan normal, mampu bekerja dengan produktif. Remaja juga akan sedia untuk jadi orang dewasa yang berfungsi dan menjalankan tangunggjawab dengan sempurna. 


Erik Erikson


Teori Psikososial Erikson adalah berdasarkan 5 prinsip utama iaitu
·        setiap individu mempunyai keperluan asas yang sama
·        perkembangan individu bergantung kepada tindakbalas individu          terhadap keperluan-keperluan asasnya
·        perkembangan individu mengikut tahap-tahap tertentu
·        setiap tahap mempunyai konflik dan konflik ini mesti diatasi   supaya          individu dapat berfungsi dengan baik dalam tahap berikutnya
·        kegagalan mengatasi konflik pada satu tahap akan menjejaskan          perkembangan tahap yang berikutnya.
Perkembangan psikososial Erikson terbahagi kepada lapan.
Peringkat pertama ialah asas kepercayaan lawan asas ketidakpercayaan iaitu dari lahir hingga 1 tahun. Bayi perlu mempunyai hubungan yang erat, mendapat kasih sayang dan kepercayaan daripada penjaga. Sekiranya hal ini gagal, ketidakpercayaan akan timbul dalam diri kanak-kanak.
Yang kedua ialah peringkat autonomi lawan keraguan iaitu dari umur 1 tahun hingga 3 tahun. Pada peringkat ini perkembangan kanak-kanak tertumpu pada perkembangan fizikal. Sekiranya berjaya dan menerima sokongan menimbulkan rasa percaya kepada keupayaan diri sekiranya gagal mereka mula ragu-ragu terhadap keupayaan diri sendiri.
Pada peringkat ketiga inisiatif lawan rasa bersalah iaitu pada tahap umur 4 hingga 5 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak cuba untuk berdikari, ada inisiatif untuk melakukan sesuatu sendiri, sekiranya gagal boleh membawa rasa bersalah.
Seterusnya peringkat industri lawan rasa rendah diri iaitu pada tahap umur 6 hingga 11 tahun. Kanak-kanak pada tahap ini perlu menguasai kemahiran-kemahiran tertentu di alam persekolahan, kegagalan pada tahap ini akan membawa rasa rendah diri dan tiada keupayaan. Identiti lawan kekeliruan identiti ialah peringkat
kelima iaitu untuk golongan yang berumur 12 hingga 18 tahun. Pada peringkat ini, mereka mencari identiti diri bagi golongan remaja dalam pekerjaan, kemahiran, jantina dan bersosial.
Peringkat yang seterusnya ialah keintiman lawan keasingan iaitu mereka diperingkat awal dewasa yang berumur 18 hingga 35 tahun. Mula membentuk keintiman dalam perhubungan, menuju kearah perkahwinan dan membina kerjaya. Kegagalan pada tahap ini akan membawa perasaan terasing dan tersisih.
Peringkat yang ketujuh ialah peringkat generativiti lawan kekakuan iaitu pertengahan dewasa yang berumur 35 hingga 65 tahun. Pada peringkat ini kehidupan yang berkeluarga dan mempunyai kerjaya yang baik. Kegagalan pada peringkat ini akan membawa kepada perasaan mementingkan diri sendiri.
Akhir sekali ialah integriti lawan kekecewaan iaitu peringkat lanjut usia yang berumur 65 tahun ke atas. Kejayaan dalam hidup dan bekeluarga. Kegagalan pada tahap ini akan membawa kepada kesedihan dan kekecewaan.










No comments:

Post a Comment